Refleksi diri oleh Abdul Syukur bin Maarudin

Assalamualaikum. Nama saya Abdul Syukur bin Maarudin. Pada pendapat saya, kursus jalinan masyarakat adalah satu inisiatif yang amat berguna untuk saya kerana saya dapat berhubung dengan sesebuah masyarakat. Program E-Smart Tutor yang kami jalankan selama 5 minggu telah memberi saya peluang untuk meningkatkan potensi saya bukan sahaja sebagai seorang pelajar, namun saya juga dapat menambahkan pengalaman saya untuk menjadi seorang yang berbakti kepada masyarakat sekeliling. Pada mulanya program yang kami jalankan, sejujurnya saya berasa sedikit kecewa kerana tidak mendapat sambutan yang tinggi dan pelajar Tingkatan 5 yang mengikuti program kami kurang memberi sumbangan dari segi respons yang sedikit. Ini mungkin juga kerana kami mempunyai kurang pengalaman dalam mengadakan program seperti ini dan juga ia diadakan secara atas talian. Namun begitu, bermula pada minggu-minggu seterusnya, saya mula berasa gembira kerana ramai pelajar yang menyertai program tutor kami dan mereka mula memberikan perhatian dan respons yang baik. 

Selain itu, saya dapat melihat rakan-rakan sekumpulan saya memberi sokongan dan sumbangan yang amat baik sepanjang program tutor yang kami laksanakan. Saya juga melihat rakan-rakan sekumpulan saya amat berpotensi dalam memberi sepenuh tumpuan terhadap program ini. Dengan itu, saya menjadi amat bersemangat untuk terus menjalankan program ini bersama rakan-rakan saya. Melalui program ini, saya juga telah memperoleh banyak pengajaran seperti kesabaran, ketelitian dan juga kaedah penyampaian saya. Apabila saya memberi tunjuk ajar kepada pelajar Tingkatan 5, ia amat mencabar kesabaran saya kerana pembelajaran secara dalam talian ini tidaklah semudah ABC. Saya tidak dapat melihat wajah-wajah mereka dan ini mengajar saya untuk merasai perasaan seorang guru yang kini perlu menjalankan PdPr. Tambahan pula, sekiranya kaedah penyampaian saya kurang difahami oleh pelajar Tingkatan 5 itu, rakan-rakan saya akan turut membantu saya untuk menyampaikannya dengan cara yang lebih mudah. Dengan itu, saya dapat mengubah kaedah saya di minggu-minggu seterusnya.

Program yang kami telah jalankan ini banyak memberi saya pengalaman yang amat bermakna kerana saya dapat berbakti kepada pelajar lain. Sebagai seorang pelajar, saya berasa amat beruntung kerana dapat berkongsi kemahiran dan ilmu kepada pelajar lain. Dengan ini, saya dapat bertukar ilmu dan kemahiran bukan sahaja dengan rakan-rakan sekumpulan saya, tetapi dengan pelajar Tingkatan 5 iaitu komuniti kami. Pengalaman seperti ini dapat membantu saya untuk meningkatkan potensi saya sebagai seorang manusia terutamanya berkaitan dengan komunikasi. Dulu, saya tidak mempunyai keyakinan yang tinggi dan itu menyebabkan saya sukar untuk berkomunikasi. Sepanjang menjalankan program ini, saya berupaya untuk menjadi lebih yakin dan akhirnya mampu untuk berkomunikasi dengan lebih baik. Buktinya, ketika saya ingin membuat video pembentangan untuk subjek lain, saya tidak lagi teragak-agak untuk bercakap dengan tutur kata yang lebih jelas dan mudah difahami. 

Akhir sekali, melalui aktiviti yang kami jalankan untuk kursus jalinan masyarakat ini, saya akan terus melibatkan diri saya dalam aktiviti seperti ini supaya saya dapat terus berbakti kepada masyarakat sekeliling saya. Pada pandangan saya, aktiviti sebegini amat memberi kesan yang baik terhadap masyarakat kerana ia dapat mengajar masyarakat untuk terus melakukan kebaikan terhadap orang lain. Saya ingin terus berusaha membantu masyarakat dan menjalinkan hubungan yang erat dengan mereka kerana ia telah memberikan saya kemampuan untuk menjadi lebih yakin dalam hidup saya.

Comments

Popular posts from this blog

Refleksi Jalinan Masyarakat oleh Muhammad Harith Adam bin Rosdi