Refleksi Jalinan Masyarakat oleh Muhammad Harith Adam bin Rosdi
Pada pendapat saya, projek Jalinan Masyarakat ini merupakan satu insentif yang sangat bagus kepada pelajar-pelajar universiti untuk mendekatkan diri dengan pihak komuniti luar. Pada awal sebelum bermulanya tugasan kami untuk mengajar pelajar sekolah, saya berasa bersemangat untuk menjayakan program ini kerana dapat bertemu dengan pelajar-pelajar sekolah (walaupun secara online) di mana dahulunya saya juga berada di tempat mereka. Kami berenam sebagai tutor telah menyediakan banyak soalan untuk mengajar mereka serta menjawab soalan tersebut bersama-sama. Pada awalnya, saya berasa projek ini akan mengganggu waktu belajar saya pada hujung minggu kerana setiap minggu selama 5 minggu saya dan rakan-rakan seperjuangan perlu mengajar mereka. Saya berasa pada waktu itu adalah lebih baik saya menyiapkan tugasan universiti yang belum buat atau mengulang kaji pelajaran untuk ujian akan datang.
Ketika proses pembelajaran, saya dapat melihat rakan-rakan juga turut serta dalam mengajar pelajar sekolah. Saya di sini mengambil inisiatif untuk melihat dan mencontohi cara-cara mengajar oleh mereka. Dalam pada itu, saya juga dapat meilhat kemajuan pelajar masing-masing. Ada yang lambat untuk faham dan ada yang dapat jawab dengan lancar. Tetapi, saya juga berasa sedikit kecewa kerana kebanyakan pelajar tidak respon akan soalan tutor. Kadang-kadang terasa seperti bercakap seorang diri walaupun tahu ada sahaja yang mendengar pelajaran kami. Ketika awal mengajar saya juga berasa agak kekok kerana saya jarang mengajar orang yang saya tidak kenal. Mengajar secara online juga amat berlainan dengan mengajar secara bersemuka. Rasa-rasa macam ini lah bagaimana pensyarah dan guru-guru mengajar pelajar mereka secara online ketika musim pandemik ini.
Di akhir projek tutor ini, banyak faedah dan pengajaran yang saya dapat sebagai seorang tutor. Saya dapat menjadi lebih yakin untuk bercakap dan mengajar kepada orang lain. Program ini juga bermakna kepada saya kerana dapat merasai menjadi sebagai seorang pengajar, walaupun hanya sekejap. Sebagai salah satu cita-cinta saya untuk menjadi seorang pengajar akademik, program ini amatlah bermanfaat kepada saya untuk meningkatkan prestasi saya serta dapat memberikan pengalaman yang cukup bermakna. Melalui aktiviti jalinan masyarakat ini, jika saya ada ruang dan masa, saya akan terus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya pengajaran dan pembelajaran di masa akan datang.
Comments
Post a Comment